Utusan TV 19th July 2025
UMTSEA Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh UMT Holdings Sdn. Bhd., menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama TAC Legacy Sdn. Bhd. bagi melancarkan kerjasama strategik dalam penyampaian program pensijilan profesional yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Kerjasama ini bertujuan memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap pembangunan bakat masa hadapan dengan menawarkan latihan berasaskan industri, bermula dengan program berimpak tinggi dalam bidang teknologi digital dan pengkomputeran awan (cloud).
Ketua Pegawai Eksekutif UMTSEA, Erwina A. Ghafar berkata, kerjasama ini seiring dengan aspirasi negara dalam memperkasa pembangunan modal insan dan ketahanan ekonomi.
“Dengan kerjasama ini, kami berhasrat memperluas akses kepada pensijilan profesional dan menempatkan UMTSEA sebagai pintu masuk kepada latihan berkemahiran tinggi yang relevan dengan keperluan industri,” katanya.

Erwina turut memberitahu, program ini sangat sesuai buat mereka yang ingin menambah pengalaman professional namun mempunyai kekangan masa untuk menyambung pengajian.
“Kami sangat menggalakkan sesiapa sahaja yang berminat untuk menyambung pengajian di UMTSEA kerana kami menawarkan kursus jangka pendek dan jangka panjang yang boleh disesuaikan dengan tuntutan masa bekerja.
“Malah untuk pelajar UMT di Terengganu juga, kami sedang berusaha untuk menjadikan program Amazon Web Services (AWS) sebagai sebahagian modul subjek dan sasarannya apabila mereka tamat belajar, mereka mempunyai sijil professional dan sekaligus memudahkan untuk ke alam pekerjaan,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Pengarah TAC Legacy, Datuk Sri Nor Ahmed Salih @ Anas Abdullah berkata, kerjasama ini merupakan satu komitmen konkrit ke arah penyediaan bakat Malaysia bagi ekonomi digital.
“TAC Legacy ialah rakan teknologi terpilih atau Select Tier Partner kepada AWS di Malaysia. Kami aktif dalam transformasi digital merentasi sektor pendidikan, kerajaan dan industri, khususnya dalam pengkomputeran awan, keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI) serta pembangunan kemahiran digital.
“Kerjasama antara UMTSEA, TAC Legacy dan AWS bukan sekadar tandatangan atas kertas. Ia adalah satu komitmen bersama untuk melahirkan pelajar yang memiliki sijil profesional bertaraf dunia dalam bidang AWS Cloud dan AI,” jelasnya.
Menurut beliau lagi, melalui program ini, pelajar bukan sahaja akan memahami teori, malah turut menguasai kemahiran praktikal yang amat diperlukan dalam pasaran kerja hari ini, bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat global.
Di bawah MoU ini, TAC Legacy akan bertindak sebagai rakan penyampai latihan, memanfaatkan hubungan strategiknya dengan badan pensijilan antarabangsa termasuk Amazon Web Services (AWS). UMTSEA pula akan memimpin usaha pengambilan pelajar, promosi serta penglibatan bersama pihak berkepentingan dari sektor akademik dan korporat.
MoU ini akan berkuat kuasa selama tiga (3) tahun dan merangkumi pelbagai inisiatif, termasuk pelaksanaan program pensijilan, penjenamaan bersama serta penubuhan pusat latihan fizikal atau maya.
Kedua-dua pihak turut komited untuk meneroka peluang kerjasama tambahan selaras dengan dasar negara serta perkembangan semasa industri.